Program Infaq Ilmu Dan Rahmatan Lil Alamin: Rumah Seri Kenangan Cheras
Program Infaq Ilmu Dan Rahmatan Lil Alamin: Rumah Seri Kenangan Cheras

Rumah Sri Kenangan Cheras, 10 Mac 2026 – Yayasan Tadabbur dengan jayanya telah
menganjurkan Program Rahmatan Lil ‘Alamin pada 10 Mac 2026 bertempat di Rumah Sri
Kenangan Cheras.
Program ini telah dilaksanakan dengan tajaan daripada ToyyibPay Sdn
Bhd
, sebuah syarikat pembayaran digital patuh syariah yang terkenal di Malaysia dan aktif
menyokong inisiatif pembangunan ummah serta program berteraskan nilai Islam. Selain itu,
program ini turut menerima sumbangan air mineral daripada Tabung Haji untuk diagihkan
kepada para penghuni, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan yang dijalankan.


Program Infaq Ilmu dan Rahmatan Lil ‘Alamin merupakan satu inisiatif Yayasan Tadabbur
yang memfokuskan kepada penerapan nilai kasih sayang, keprihatinan dan perkongsian
ilmu dalam kehidupan bermasyarakat. Program ini bertujuan menyantuni golongan warga
emas melalui aktiviti kebajikan seperti pemberian kuih raya di Rumah Sri Kenangan Cheras,
di samping pengisian rohani menerusi ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Syaari,
sebagai usaha mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam serta menghayati konsep
rahmah dalam kehidupan seharian.


Pengisian utama program turut menampilkan ceramah bertajuk “5 Amalan 10 Malam
Terakhir Ramadan”
yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tadabbur,
Ustaz Syaari Ab Rahman. Dalam penyampaian tersebut, beliau mengajak para peserta
untuk merebut peluang keemasan pada fasa akhir Ramadan dengan memperbanyakkan
amalan seperti qiyamullail, membaca dan mentadabbur al-Quran, berdoa dengan penuh
pengharapan, bersedekah serta memperbanyakkan istighfar. Beliau menegaskan bahawa
10 malam terakhir merupakan detik yang sangat istimewa kerana terdapatnya malam
Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan, justeru setiap Muslim diseru untuk
melipatgandakan usaha ibadah dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Melalui
pengisian ini, para peserta bukan sahaja diingatkan tentang kelebihan malam-malam
tersebut, malah didorong untuk menghidupkan Ramadan dengan amalan yang berterusan
serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.


Selepas itu, majlis diteruskan dengan sesi penyerahan sumbangan kuih raya kepada
wakil penghuni Rumah Sri Kenangan Cheras yang terdiri daripada 50 orang. Penyerahan ini
menjadi simbolik kepada tanda ingatan dan kasih sayang daripada para penganjur kepada
golongan warga emas yang disantuni. Seterusnya, baki sumbangan diagihkan sendiri oleh
pihak penganjur ke setiap dorm penghuni, sekali gus memberi peluang untuk berinteraksi
secara lebih dekat dan mesra. Kami turut turun padang ke setiap dorm bagi mengagihkan
sumbangan secara langsung kepada para penghuni, menjadikan suasana lebih bermakna
dan penuh keakraban. Suasana ini bukan sahaja menceriakan para penghuni, malah turut
menyemai rasa syukur, empati dan kegembiraan dalam kalangan semua yang terlibat.


Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan aktif
daripada pihak penganjur serta kerjasama baik daripada pihak Rumah Sri Kenangan
Cheras. Sesi ceramah dan interaksi yang berlangsung bukan sahaja memberi pengisian
rohani yang bermakna, malah membuka ruang kepada semua yang terlibat untuk
menghayati nilai kasih sayang, keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kehidupan
seharian. Momen kebersamaan bersama para warga emas turut memberikan pengalaman
yang menyentuh hati serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menghargai dan
menyantuni golongan ini. Yayasan Tadabbur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam
menjayakan Program Infaq Ilmu dan Rahmatan Lil ‘Alamin ini. Diharapkan program
seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha berterusan
dalam menyemai budaya infaq, memperkukuh nilai rahmah serta mendekatkan masyarakat
dengan ajaran Islam yang syumul, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih penyayang,
prihatin dan berakhlak mulia.

Rakan Strategik

Yayasan Tadabbur ditubuhkan dengan tekad menghidupkan roh Al-Quran dalam kehidupan umat Islam melalui pendekatan tadabbur yang menyentuh hati.

Hubungi Kami

Yayasan Tadabbur

Tingkat 3, Kompleks Surau As Sobah, Jalan 3/4 Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Phone

6011-5598-7351

Email

yayasantadabbur@gmail.com