Minda CEO

“IBADAH” BUAT PARA PETUGAS PBAKL

Buat adik-adikku petugas Paradigma Ibrah , Tadabbur Centre , Yayasan Tadabbur dan semua petugas di PBAKL nanti.

Di sebalik komitmen padu “menjaga kubu” dan reruai masing-masung, cari dan ciptakan masa untuk capai LIMA FAEDAH lain selain jual buku sepanjang “hari raya” P.E.S.T.A Buku PBAKL 2026.

P — Pengetahuan

Tambah ilmu baru, khususnya mengenai dunia “tadabbur” al-Quran dan kajian-kajian terkini mengenai al-Quran. Balik dari PBAKL nanti, kongsikan sekurang-kurangnya satu buku baru yang ditemui dari luar reruai kita.

E — Engagement

Eratkan hubungan dengan kawan-kawan lama, keluarga, pembaca dan komuniti buku. Siapa insan istimewa yang kita sempat disapa, disantuni dan dihubungkan semula hari ini?

S — Self-enrichment

Perkaya diri dengan buku-buku genre baru di luar bidang kita, sambil menyokong karya penulis lain yang membawa kebaikan pada ummat. Beli atau sekurang-kurangnya belek satu buku luar bidang kita.

T — Temu tokoh

Bertemu tokoh-tokoh yang dijemput dalam acara pentas untuk mengambil inspirasi daripada pengalaman dan kejayaan mereka. Apa satu pelajaran yang boleh kita bawa pulang dari perkongsian tokoh berkenaan ?

A — Analisa

Analisis faktor buku bestseller dan tingkah laku pembeli. Kenapa buku itu laku? Kenapa orang berhenti di satu reruai? Kenapa ada yang beli dan ada yang tidak? Kenapa di sana beratur panjang, tetapi di sini lengang? Jangan hanya menjual. Perhati, catat dan belajar daripada gerak pasaran.

BAGI PENULIS PULA

Seperti saya, sesi “meet and greet” bukan sekadar formaliti kerja seorang penulis di pesta buku. Niatkan ia sebagai ibadah.

Saya teringat kepada Nabi Yusuf AS yang turun sendiri menyantuni rakyat ketika agihan gandum di musim kemarau berbahaya menimpa Mesir. Inilah waktu kita merasai sedikit makna وَلَمَّا جَهَّزَهُم — bukan sekadar menyedia “gandum” yang dimahukan pengunjung, tetapi bertanya khabar pengalaman hidup para pembaca, kisah mereka bersama al-Quran jika ada, kemudian buatlah kesimpulan dari dapatan pertemuan-pertemuan yang pastinya tidak kebetulan di reruai berkenaan.

Itupun jika masa penulis mengizinkan perbualan itu berlaku. Moga PBAKL kali ini bukan hanya menjadi pesta jual beli, tetapi medan menyambung hati manusia dengan ilmu Qurani.


Syaari Ab Rahman

20 Mei 2026

REZEKI YANG LUAS DI PBAKL 2026

Akhirnya, PBAKL bukan hanya tentang berapa banyak jualan yang terhasil. Lebih daripada itu, ia tentang berapa ramai pencinta tadabbur yang sempat disantuni, berapa banyak maklum balas pembaca yang didengari, berapa banyak silaturahim lama yang terjalin semula, dan berapa banyak saranan dan harapan daripada tokoh-tokoh kenamaan yang sudi menyinggahi.

Dan ia juga tentang ucapan salam, senyuman, doa yang sangat bermakna dari semua yang singgah dengan sengaja dan tidak sengaja ke teratak 648 kami. Semalam kami menutup tirai PBAKL dengan hati yang penuh syukur atas banyaknya “rezeki” sepanjang 10 hari kami bertapa di sini.


Terima kasih kepada semua yang hadir, membeli, menyapa, mendoakan dan menjadi sebahagian daripada perjalanan tahun ketiga Tadabbur Plus di PWTC.

Terima kasih adik-adik saya jentera TC, PISB dan YT . Moga Allah menerima segala usaha kecil ini sebagai ibadah yang memberatkan timbangan di hari berdiri di hadapan Ilahi.

Syaari Ab Rahman

8 Jun 2026

FATIH, HARI INI BELAJARLAH MAKNA “JEMAAH” DARIPADA SEPANYOL

Sepanyol tidak menewaskan Perancis hanya kerana mereka lebih banyak menguasai bola. Mereka menang kerana berjaya mengawal apa yang boleh dilakukan oleh Perancis apabila mendapat bola. Perancis memiliki penyerang individu yang lebih menggerunkan seperti Mbappé, Dembélé dan Olise. Namun, Sepanyol memiliki sesuatu yang lebih berharga iaitulah hubungan dan persefahaman yang lebih baik antara para pemain.

Bintang-bintang Perancis kelihatan seperti individu yang terpisah-pisah, sedangkan Sepanyol bermain seperti sebuah pasukan elit yang telah berlatih bersama setiap minggu. Apabila rancangan asal Perancis tidak lagi berfungsi, mereka mula mencari seorang wira. Sepanyol pula terus mencari penyelesaian secara bersama. Perancis memiliki lebih ramai pemain yang mampu mencipta keajaiban. Namun, Sepanyol membentuk permainan sehingga Perancis memerlukan keajaiban hanya untuk menghasilkan satu peluang yang benar-benar berbahaya.

Yā bunayya, sebuah “jemaah” bukanlah sekadar himpunan individu, bintang atau pempengaruh yang hebat. Kekuatan jemaah terletak pada mutu hubungan dan kesatuan gerak antara mereka. Sebuah bangunan tidak menjadi kukuh hanya kerana setiap batunya kelihatan indah. Bangunan itu menjadi teguh apabila setiap batu berada pada kedudukan yang tepat, memainkan peranannya dan menyokong batu-batu di sisinya.Itulah umpamanya بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ — bunyānun marṣūṣ, sebuah binaan yang tersusun kukuh.

Yā bunayya, bakat boleh memenangi beberapa detik dalam perlawanan. Namun, persefahaman secara berjemaah mampu menguasai keseluruhan permainan. Sepanyol tidak menunggu Mbappé menerima bola untuk menghalangnya. Rodri, Fabián Ruiz dan barisan pertahanan terlebih dahulu menutup segala laluan yang boleh membawa bola kepadanya. Inilah pertahanan yang bijaksana. Jangan sekadar menghentikan orang yang berbahaya. Tutup jalan agar dia langsung tidak berpeluang memasuki permainannya!

Sepanyol juga tidak sibuk mencipta penyelesaian baharu pada setiap masa. Mereka menemui penyelesaian yang tepat, lalu mengulanginya dengan penuh disiplin sehingga Perancis akhirnya runtuh. Sepanyol melakukan banyak hantaran. Namun, banyaknya hantaran itu bukanlah seni yang sebenar. Seninya terletak pada kebijaksanaan mereka mengetahui bilakah masanya untuk berhenti mengedarkan bola dan mula menembusi pertahanan lawan.

Syaari Ab Rahman

15 Julai 2026

SPAIN BUKTIKAN BAHAWA “SISTEM MENGANGKAT BINTANG”, BUKAN SEBALIKNYA

Naratif awal final ialah Messi melawan Lamine Yamal iaitu legenda berusia 39 tahun melawan pewaris yang “dimandikan” berusia 19 tahun. Tetapi final tidak ditentukan oleh salah seorang daripada mereka. Akhirnya ia ditentukan oleh Rodri, Porro, Nico Williams, Ferran Torres, tekanan kolektif dan disiplin posisi. Itulah kesempurnaan Spain.

Mereka mempunyai bintang, tetapi tidak meminta sistem berlutut kepada bintang. Bahkan Rodri akhirnya boleh digantikan oleh Zubimendi tanpa menyebabkan pasukan kehilangan bentuk. Sebagaimana terserlah ketika melawan Mesir dan England, Argentina memang pakar dalam mencipta “comeback”, tetapi Spain lebih mahir menghapuskan keadaan yang membolehkan kebangkitan berlaku. Argentina pula terlalu bergantung kepada Messi sebagai pusat kreativiti. Apabila Spain menutup saluran kepadanya, serangan Argentina hampir terputus sepenuhnya.


Terhadap France, Spain tidak memberi Mbappé ruang untuk berlari dalam situasi transisi. Terhadap Argentina, prinsipnya sama tetapi sasarannya berbeza. Spain menutup lorong hantaran kepada Messi. Messi hanya mendapat 54 sentuhan dalam perlawanan yang berlangsung lebih 120 minit.

Spain tidak perlu “mengalahkan Messi” setiap kali dia menerima bola. Mereka memastikan dia jarang menerima bola dalam keadaan berbahaya. Lalu kita belajar sesuatu. Jangan hanya menyerang individu yang menjadi ancaman. Fahami dan putuskan sistem yang menyokong individu tersebut. Luis De la Fuente tidak perlu menjadi tokoh dramatik di tepi padang. Kepimpinannya terlihat melalui ketenangan dan kesediaan membina sistem sehingga pemain simpanan pun bersedia menjadi penyelesai. Tidak tepat mengatakan Spain menang hanya kerana Argentina bermain dengan sepuluh orang. Sebelum kad merah lagi, Spain sudah mendominasi bola, wilayah dan peluang, sedangkan Argentina belum melakukan satu percubaan pun.


Jika Spain itu mahu dilihat menawarkan sesuatu ibrah kepada misi pembebasan tanah Zaitun, ibrahnya umat tidak boleh bergantung pada ledakan emosi besar-besaran atau seorang tokoh penyelamat diturunkan dari langit. Ia mesti menjadi bunyān marṣūṣ iaitu gerakan tersusun yang istiqamah, setiap pihak mengetahui peranannya.

Syaari Ab Rahman

20 Julai 2026

AUDIT DUNIA VS AUDIT MAHSYAR: Adakah Bekalan Harta Kita Bersedia?

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Muhasabah kita hari ini membawa kita kepada RCI Tabung Haji. Laporan itu adalah cerminan audit dunia. Ia mendedahkan di mana silapnya amanah diuruskan. Namun, sedarlah, itu hanyalah 'pra-audit'.


Bayangkan 'Laporan Audit' sesungguhnya yang bakal kita terima di Padang Mahsyar kelak. Laporan yang tiada satu pun tertinggal, tiada peguam boleh membela, dan tiada audit dalaman boleh memadamnya.


Mari kita telusuri Surah Al-Zalzalah. Allah SWT menjanjikan bahawa setiap daripada kita bakal menerima ‘Buku Audit” tatkala dibangkitkan nanti, sama ada baik atau buruk amalnya. Mari kita telusuri Surah Al-Zalzalah. Allah SWT menjanjikan bahawa setiap daripada kita bakal menerima "Buku Audit" tatkala dibangkitkan nanti sama ada baik atau buruk amal sepanjang hayatnya.

'Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!'

(Surah Al-Zalzalah: 7-8).

Adakah kita bersedia untuk dihisab? Ayuh, gunakan peluang hidup ini untuk membetulkan urusan amanah kita, sama ada harta, masa, mahupun jawatan, sebelum audit agung bermula.

Syaari Ab Rahman

30 Julai 2026

Catatan Pulang dari IQRA’

Beberapa nota penting saya bawa pulang daripada sesi tiga jam bersama Ustaz Hasrizal, yang keselamatan sesi ustaz telah dijaga rapi oleh Ustaz Manusiawi Khubaib Akhi 💪😁


Resolusi terpenting bahawa lafaz Iqra’ — اِقْرَأْ — bukan hanya wahyu pertama kepada Baginda SAW atau lafaz pertama Tuhan kepada manusia, bahkan merupakan “enabler” dalam beragama. Apabila akal difungsikan dengan sebaik-baiknya, seluruh amalan beragama akan menjadi lebih bermakna. Bukankah itu antara matlamatnya? Dua asatizah mengisi makna ini dalam seminggu ini. Minggu lepas, “fanzur maza tara” bersama Dr Akram Nadwi dan surah Ibrahim.

Pulang daripada sesi “tak sedar tiga jam rupanya” tersebut, saya kembali meneliti “Revival of the IQRA! Principle” (إحياء فاتحة اقرأ) karya Randa Hamwi (2024). Saya beli di Wardah Bookstore, Singapura tahun lepas. Penulis mengembangkan enam dimensi اِقْرَأْ daripada medan makna yang direkodkan oleh ahli bahasa kurun ke-10, Aḥmad ibn Fāris dalam

معجم مقاييس في اللغة :

قَرَى: يَدُلُّ عَلَى جَمْعٍ وَاجْتِمَاعٍ، وَمِنْهُ الْقَرْيَةُ؛ الْقَرْنُ: الظَّهْرُ وَمَا يَحْمِلُ؛ الْقَرْوُ: الْقَصْدُ؛ الْقَارِئَةُ: الشَّاهِدُ؛ الْقَرْءُ: الْوَقْتُ؛ الْقِرَى: الضِّيَافَةُ.

Daripada medan makna tersebut, Randa Hamwi mengembangkan اِقْرَأْ sebagai enam tuntutan kehidupan.:

Pertama, menghimpun — جَمْعٌ وَاجْتِمَاعٌ. “Membaca” bermula dengan menghimpunkan maklumat, pengalaman dan tanda-tanda daripada diri serta alam sekeliling. Namun, kita perlu menapis apa yang dihimpunkan agar tidak sekadar meniru atau terpengaruh.

Kedua, memikul — حَمْلٌ وَتَحَمُّلٌ. Apa yang diperoleh selepas “membaca” mesti dipikul sebagai amanah. Ilmu bukan sekadar menambah maklumat, tetapi melahirkan tanggungjawab terhadap pilihan dan tindakan.

Ketiga, menimbang dan menetapkan arah — قَصْدٌ وَعَزْمٌ. Ilmu yang diperoleh selepas “membaca” perlu dipertimbangkan sebelum seseorang membuat keputusan dan bergerak menuju tujuan. Pembacaan yang sebenar memberikan arah, bukan sekadar memenuhi fikiran.

Keempat, menjadi saksi — شُهُودٌ وَشَهَادَةٌ. Perbuatan seseorang pembaca mesti menjadi kesaksian terhadap apa yang diyakininya. Hidupnya sendiri menjadi bukti kepada hasil pembacaannya.

Kelima, bertindak pada waktunya — الْوَقْتُ وَالْآنُ. Pengetahuan daripada “membaca” mesti diterjemahkan kepada tindakan pada waktu yang tepat. اِقْرَأْ tidak membenarkan kita terus menangguhkan perubahan kepada masa hadapan yang belum pasti.

Keenam dan terakhir, melayani dan berkongsi — الْقِرَى وَالضِّيَافَةُ. Kemuncak “membaca” ialah menghidangkan manfaat. الْقِرَى bermaksud layanan atau hidangan kepada tetamu. Seorang pembaca mesti berkongsi yang terbaik daripada ilmu, pengalaman dan kesedaran yang telah dihimpunkannya.

Kembali kepada sesi bersama UHAJ. Tidak pernah saya tidak sebak apabila pulang daripada sesi bersama Ustaz Hasrizal. Sebak kerana kisah-kisah “titik terendah” dalam kehidupan ustaz ketika berada di tanah air dahulu yang dapat saya rasai dan fahami, kerana pernah melaluinya, walaupun sedikit berbanding struggle sebenar ustaz.

Maafkan saya dan isteri, ustaz, kerana tidak sempat bertemu dan bertanya khabar selepas sesi selesai. Maafkan juga daku puan isteri Nurul Suhadah Shuib kerana hasratmu untuk mendapatkan tandatangan pada buku ustaz - yang telah selesai dibacanya - tidak kesampaian. Murid-murid ustaz yang beratur agak panjang, merekalah yang lebih wajar diutamakan.

Lafaz al-jāhiliyyah al-ūlā — الْجَاهِلِيَّةُ الْأُولَىٰ — dalam Surah al-Aḥzāb, ayat 33, apabila dilafazkan sendiri oleh al-Quran, sama seperti lafaz al-ḥashr al-awwal — لأول الحشر — dalam Surah al-Ḥashr, ayat 2, sudah cukup memberikan isyarat yang menggerunkan tentang kemungkinan berulangnya sesuatu peristiwa dalam sejarah.

فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ

Saya ingin melengkapkan dapatan ustaz dengan satu sudut tafsiran daripada Amin Ahsan Islahi pada ayat berkenaan. Lafaz al-ūlā — الْأُولَىٰ — memberikan isyarat halus bahawa zaman Jahiliyyah telah berakhir dengan kedatangan Islam itu sendiri. Islam, yang asas pembinaannya bermula dengan lafaz Iqra’ — اِقْرَأْ — telah melemahkan akar budaya Jahiliyyah. Maka, sesiapa yang masih berharap budaya tersebut dapat dihidupkan semula atas nama “agama” sebenarnya sedang hidup dalam khayalan. Ia takkan berlaku kerana Islam dan jahiliyyah takkan boleh duduk bersama.

Dalam tafsir Maḥāsin al-Ta’wīl, al-Qāsimī pula menambah refleksinya berikut: الْجَاهِلِيَّةُ الْأُولَىٰ جَاهِلِيَّةُ الْكُفْرِ قَبْلَ الْإِسْلَامِ، وَالْجَاهِلِيَّةُ الْأُخْرَىٰ جَاهِلِيَّةُ الْفُسُوقِ وَالْفُجُورِ فِي الْإِسْلَامِ. Maksudnya, Jahiliah pertama ialah Jahiliah kekufuran sebelum Islam, sedangkan “Jahiliah yang kemudian” boleh muncul dalam kalangan umat Islam dalam bentuk kefasikan, kefajiran dan pengulangan akhlak Jahiliah. Deep !

Pesan buat diri. Jangan berbangga kerana telah menulis banyak buku. Masuklah sebentar ke dunia akademik untuk menilai semula: “Apakah sebenarnya yang telah aku tuliskan kepada masyarakat?” Inilah اِقْرَأْ bagi seorang asatizah dan agamemnon seperti aku. Kebodohan boleh menjelma bukan sahaja dalam bentuk individu, bahkan secara sistemik. Seseorang — termasuk diriku sendiri — boleh terperangkap dalam ekosistem السُّفَهَاءِ berkenaan. عِيَاذًا بِاللَّهِ!

Sentiasalah menyemak kemajuan dan “growth” pembaca atau pelajar yang “loyal” belajar daripada kita. Tanda kematangan mereka ialah apabila mereka mampu memberikan pandangan yang berbeza daripada apa yang kita utarakan, bahkan berani mengkritiknya. Semoga ustaz dipermudahkan urusan menyambung pengajian PhD di Ireland. Kami di sini tumpang bangga, terinspirasi dan mendoakan kejayaan ustaz pada peringkat yang lebih tinggi di sana. Moga Allah terus memilih ustaz untuk membuktikan makna وَمَا تَغِيضُ ٱلْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ, bahawa setiap sesuatu keterbatasan dalam diri atau sesuatu yang disempitkan laluannya oleh Tuhan, hakikatnya menandakan ada sesuatu yang lain sedang dibuka luas oleh Tuhan pada waktu yang sama. Semoga Allah menyembuhkan abang ustaz atau mengurniakan keampunan kepada beliau.

Fi amanillah ustazna. Terima kasih Yayasan Pendidikan Khalifah

Syaari Ab Rahman

3 Ogos 2026

AWALAN DAN AKHIRAN: KUNCI MEMAHAMI SESEBUAH “KARYA”

NEIL: “For me, I think this is the end of a beautiful friendship.”

THE PROTAGONIST: “But for me, it’s just the beginning.”

Robert Pattinson (Neil)

John David Washington (The Protagonist)

“TENET” (2020) by Christopher Nolan


Pengarah hebat lazimnya menanam persoalan, imej atau konflik pada permulaan filem, kemudian memberikan jawapan pada penghujungnya. Jika kita terlepas awalan, kita mungkin masih memahami jalan cerita, tetapi terlepas kunci utama mentafsir seluruh karya. Sekadar perkongsian dari tujuh filem rating tinggi yang saya pernah tonton sendiri bagaimana persoalan di lima minit pertama dijawab oleh limit minit terakhir filem.


1. GLADIATOR (2000)

Awalan: Tangan Maximus menyentuh gandum keemasan, suatu gambaran tentang rumah, isteri dan anak yang dirinduinya.

Akhiran: Selepas kematiannya, Maximus kembali berjalan di ladang yang sama menuju keluarganya.

Hubungan: Filem yang kelihatan seperti kisah Rom, peperangan dan kuasa sebenarnya ialah kisah seorang suami dan ayah yang mahu pulang.


2. INCEPTION (2010)

Awalan: Cobb dihanyutkan ke pantai lalu dibawa menghadap Saito yang sudah tua, dalam dunia dan masa yang belum difahami penonton.

Akhiran: Cobb kembali kepada anak-anaknya tanpa menunggu untuk memastikan sama ada gasingnya akan jatuh.

Hubungan: Awalan menimbulkan persoalan tentang realiti. Akhiran menunjukkan bahawa Cobb akhirnya memilih keluarga daripada terus menjadi tawanan kepada keraguannya.


3. INTERSTELLAR (2014)

Awalan: Murph percaya ada “hantu” di biliknya yang menjatuhkan buku dan meninggalkan mesej misteri. Cooper menyangka ia sekadar imaginasi anaknya.

Akhiran: Cooper akhirnya mengetahui bahawa dialah “hantu” tersebut. Dari masa hadapan, dia menggunakan graviti untuk berkomunikasi dengan Murph melalui rak buku dan jam tangan.

Hubungan: Filem bermula dengan seorang anak yang cuba memahami “hantu” di biliknya, lalu berakhir dengan pendedahan bahawa “hantu” itu ialah kasih ayahnya sendiri yang merentasi ruang dan masa untuk kembali kepadanya.


4. AVENGERS: ENDGAME (2019)

Awalan: Clint Barton sedang menikmati kehidupan bersama isteri dan anak-anaknya sebelum mereka tiba-tiba lenyap akibat tindakan Thanos.

Akhiran: Steve Rogers meninggalkan kehidupan sebagai pahlawan dan akhirnya menjalani kehidupan bersama Peggy Carter.

Hubungan: Filem bermula dengan keluarga yang dirampas dan berakhir dengan seorang pahlawan memperoleh semula kesempatan untuk berkeluarga. Di sebalik peperangan kosmik, perkara yang mahu diselamatkan ialah masa bersama orang tersayang.

5. TENET (2020)

Awalan: Protagonist memasuki satu operasi rahsia dan menyangka dirinya hanyalah seorang ejen yang menerima arahan daripada organisasi besar.

Akhiran: Dia memahami bahawa dialah yang akan membentuk organisasi Tenet dan mengatur sebahagian perjalanan yang telah dilaluinya.

Hubungan: Dia bermula sebagai orang yang direkrut, tetapi berakhir sebagai orang yang melakukan perekrutan. Penghujung cerita sebenarnya melahirkan permulaannya.



6. OPPENHEIMER (2023)

Awalan: Oppenheimer muda terpesona dengan titisan hujan, gelombang, zarah, tenaga dan keindahan hukum fizik.

Akhiran: Dia membayangkan perlumbaan senjata nuklear yang mungkin membawa dunia menuju kehancuran.

Hubungan: Filem bermula dengan kekaguman terhadap kemampuan ilmu dan berakhir dengan ketakutan terhadap akibat ilmu yang tidak lagi mampu dikawal.


7. THE ODYSSEY (2026)

Awalan: Para pelamar di rumah Odysseus memperlihatkan layanan buruk terhadap orang asing yang miskin dan tidak berkuasa.

Akhiran: Odysseus sendiri kembali dengan menyamar sebagai orang asing yang miskin, lalu menyaksikan keburukan para pelamar dari sudut mangsa.

Hubungan: Akhlak sesebuah masyarakat paling jelas apabila ia berhadapan dengan manusia yang tidak mempunyai nama, harta atau kuasa.



Begitulah.

Awalan sesebuah karya menanam persoalan, imej atau konflik.

Akhirannya memberikan jawapan, keputusan atau tafsiran semula terhadap perkara yang diperkenalkan pada permulaan.


Jika karya manusia pun disusun dengan hubungan awalan dan akhiran yang begitu teliti, mengambil masa bertahun-tahun direncana (itupun masih ada kelemahan), bagaimana pula dengan al-Quran, “karya”dan kalam Allah yang bermukjizat dan penuh sempurna, dibacakan hanya spontan sahaja oleh seorang Rasul yang buta huruf namun selepas 1,400 baru ditemui ketersusunan awal dan akhir setiap ucapan-Nya?



Kita tidak menyamakan filem dengan al-Quran. Filem hanyalah jambatan kecil untuk membantu kita menyedari bahawa awalan surah menunjukkan apa yang perlu dicari. Akhiran surah menunjukkan apa yang sepatutnya telah ditemukan. Allah yang memberikan daya cipta kepada para pengarah hebat itulah Allah yang sama menurunkan al-Quran.


Bezanya, filem hebat mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk disusun dan tetap mempunyai kelemahan. Al-Quran pula terus dibaca dan ditadabburi selama lebih 1,400 tahun, namun hubungan, susunan dan khazanah maknanya masih belum habis ditemukan. Mengeluarkan salah satu bentuk munasabah iaitu munasabah awalan dan akhiran surah sudah lama dilakukan oleh para ulama tafsir. Ia hanya berlaku apabila seluruh surah itu sendiri difahami dan direnungi.


Syaari Ab Rahman

Yayasan Tadabbur

“Menggali Khazanah Ilmu Munasabah” (2020)

Rakan Strategik

Yayasan Tadabbur (202401035184 (1581031-X)) ditubuhkan dengan tekad menghidupkan roh Al-Quran dalam kehidupan umat Islam melalui pendekatan tadabbur yang menyentuh hati.

Hubungi Kami

Yayasan Tadabbur

Tingkat 3, Kompleks Surau As Sobah, Jalan 3/4 Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Phone

6011-5598-7351

Email

yayasantadabbur@gmail.com