UKM, 8 November 2025 (Sabtu) – Telah berlangsung dengan jayanya seminar bertajuk “Refleksi Hikmah & Karakter Menerusi Surah Luqman”, hasil kerjasama antara Tadabbur Centre dan Yayasan Tadabbur, bertempat di Auditorium Institute of Visual Informatics (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Program ini menampilkan tiga panel utama yang berwibawa, iaitu Ustaz Syaari Ab Rahman, Ustaz Syahmi Syazeril Azmi, serta Ustaz Hasrizal Jamil, Pengarah Pendidikan Yayasan Pendidikan Khalifah. Seminar ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila dewan auditorium dipenuhi oleh peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur, bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah turut disertai oleh ibu bapa, pendidik dan masyarakat umum.
Antara pengisian yang paling menyentuh hati peserta ialah perkongsian oleh Ustaz Hasrizal Jamil yang menumpukan kepada aspek pendidikan kanak-kanak dan pembinaan karakter, berdasarkan pengalaman peribadi beliau sepanjang menetap dan berkhidmat dalam bidang pendidikan di Ireland. Perkongsian tersebut bukan sahaja memberi penghayatan mendalam kepada para peserta, bahkan turut memberi kesan reflektif kepada barisan panel yang hadir.
Selepas tamat sesi perkongsian oleh ketiga-tiga panel, para peserta mengambil peluang untuk berinteraksi secara lebih dekat, merakamkan gambar kenangan serta mendapatkan tandatangan pada buku-buku hasil karya para panel jemputan. Suasana penuh mesra dan penghargaan jelas terpancar, mencerminkan keberkesanan program dalam merapatkan hubungan antara ilmuwan dan masyarakat.

















