Bangi, 14 Januari 2026 - Yayasan Tadabbur berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada NMARK Consultancy PLT, yang diwakili oleh Puan Nurani, dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung di pejabat operasi Yayasan Tadabbur baru-baru ini.
NMARK Consultancy PLT merupakan agen berdaftar di bawah Wasiyyah Shoppe, sebuah syarikat pengurusan harta pusaka dan perancangan legasi yang terbesar di Malaysia. Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan serta membentangkan perkhidmatan profesional yang ditawarkan oleh pihak NMARK Consultancy PLT, khususnya dalam pengurusan harta pusaka, hibah, dan perancangan legasi patuh syariah.
Dalam sesi pembentangan tersebut, Puan Nurani turut berkongsi bagaimana kepakaran dan pengalaman NMARK Consultancy PLT dapat menyokong gerak kerja serta operasi Yayasan Tadabbur, terutamanya dalam pelaksanaan Program Hibah Lil Infaq anjuran Yayasan Tadabbur. Perbincangan ini merangkumi aspek konsultansi, penyelarasan operasi, serta pendekatan strategik bagi memastikan program hibah dapat dilaksanakan secara tersusun, berkesan dan memberi manfaat maksimum kepada masyarakat.
Sebagai simbol komitmen dan kesepakatan bersama, sesi kunjungan ini turut disusuli dengan majlis menandatangani perjanjian konsultansi, menandakan permulaan kerjasama rasmi antara Yayasan Tadabbur dan NMARK Consultancy PLT dalam usaha memperkukuh pengurusan hibah serta perancangan harta pusaka berteraskan nilai Islam. Yayasan Tadabbur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Puan Nurani dan pihak NMARK Consultancy PLT meluangkan masa untuk berkongsi kepakaran serta menjalin kerjasama strategik ini. Diharapkan kolaborasi ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program-program hibah yang lebih sistematik, mendidik dan memberi impak jangka panjang kepada ummah.












