Selangor, 28 Ogos 2025 – Yayasan Tadabbur telah mengadakan kunjungan hormat kepada Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Bin Ujang dalam satu pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh makna.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Ustaz Syahmi Syazeril Bin Azmi, selaku Ketua Pegawai Strategi & Operasi (CSOO) Yayasan Tadabbur dan juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tadabbur Centre. Dalam pertemuan ini, pihak Yayasan Tadabbur telah menyerahkan buku Kompas 604 terbitan Tadabbur Centre sebagai tanda penghargaan dan simbol usaha memperluaskan budaya tadabbur al-Quran.
Sebagai tanda balas, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini turut menghadiahkan buku penulisan beliau, Tafsir Mawdu’i: SUNGAI kepada Ustaz Syahmi Syazeril. Pertukaran naskhah ini melambangkan perkongsian ilmu serta komitmen bersama dalam memperkukuh kefahaman al-Quran dan wacana keilmuan Islam.
Kunjungan ini diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan membuka ruang kerjasama keilmuan pada masa akan datang.













