Petaling Jaya, 17 Ogos - Yayasan Tadabbur (YT) terus mengorak langkah ke hadapan dalam memperkasakan penghasilan kandungan media sosial berasaskan dakwah dan pendidikan menerusi jalinan kerjasama strategik bersama syarikat pembekal peralatan fotografi dan videografi terkemuka, Pixel Camera Sdn Bhd.
Menerusi kolaborasi ini, Yayasan Tadabbur secara rasminya menerima sumbangan tajaan kelengkapan produksi daripada pihak Pixel Camera bagi menyokong kelancaran dan meningkatkan kualiti hasil media digital organisasi berkenaan.
Kehadiran wakil Yayasan Tadabbur ke pejabat Pixel Camera telah disambut mesra oleh Encik Izzat Rizal, wakil dari pihak pengurusan Pixel Camera Sdn Bhd. Perjumpaan singkat tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan perbincangan berstruktur mengenai bentuk penghargaan YT kepada pihak sponsor, di samping bertukar pandangan berkenaan halatuju serta strategi baharu dalam pembuatan kandungan media sosial yang lebih kreatif dan berimpak tinggi.
Pihak Yayasan Tadabbur yang diwakili oleh para pelatih industri mereka, Affiq Syaharidz dan Muhammad Nadzmi, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas keprihatinan serta kesudian Pixel Camera Sdn Bhd untuk tampil sebagai rakan strategik organisasi.
"Sumbangan kelengkapan produksi ini amat bermakna buat Yayasan Tadabbur. Kami berkongsi komitmen yang sama dalam membina kerjasama jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, malah membawa impak positif yang berterusan kepada masyarakat dan ummah secara keseluruhannya," ujar wakil pihak YT.
Dengan wujudnya sokongan fasiliti yang lebih mantap daripada Pixel Camera, Yayasan Tadabbur optimis mampu menyajikan kandungan media sosial yang berkualiti tinggi, segar, dan relevan dengan kehendak penonton masa kini.





















