Kuala Selangor, 15 Julai 2026 - Alhamdulillah, Yayasan Tadabbur dengan jayanya telah menganjurkan Program Infaq Ilmu bertempat di Yayasan Al-Muhammadiah, Kuala Selangor. Program ini telah dilaksanakan dengan tajaan daripada ToyyibPay Sdn Bhd, sebuah syarikat pembayaran digital patuh syariah yang terkenal di Malaysia dan aktif menyokong inisiatif pembangunan ummah serta program berteraskan nilai Islam.
Infaq Ilmu yang bertemakan Tadabbur Surah Al-Mu'awwidzat (3 Qul) menyaksikan penyertaan yang aktif dalam kalangan warga emas, belia, dan para pelajar. Ust Syaari Ab Rahman selaku penyampai menekankan tentang perjalanan kehidupan sebagai Muslim yang harus melazimi Al-Quran dalam kehidupan seharian. Namun bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami, dihayati, merenungi makna-makna kalamullah serta mengaplikasikan dalam kehidupan.
Selain itu, program ini turut menerima sumbangan juadah makanan daripada Tisha's Food untuk diagihkan kepada para penghuni, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan yang dijalankan. Tisha's Food merupakan jenama makanan sejuk beku halal tempatan yang popular di Malaysia, terkenal dengan pelbagai produk berasaskan doh dan hidangan sedia dimasak seperti roti paratha, roti canai, serta pau. Berpegang kepada prinsip kualiti tinggi dan kemudahan penyediaan, Tisha's Food menjadi pilihan utama isi rumah yang mahukan sajian yang lazat, pantas, dan mesra keluarga.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Tisha’s Food @tishasfood atas tajaan juadah makanan, @toyyibpaymy sebagai rakan strategik serta Yayasan Al-Muhammadiah kerana membuka pintu kolaborasi buat Yayasan Tadabbur. Semoga bermanfaat In sha Allah.





















