Program INKorporat Bertadabbur: Manifestasi Khalifah dalam Organisasi: Menyulam Kekitaan, Kesatuan, Keprihatinan dan Syukur
Program INKorporat Bertadabbur: Manifestasi Khalifah dalam Organisasi: Menyulam Kekitaan, Kesatuan, Keprihatinan dan Syukur

Masjid Imam Al-Ghazali, 23 Januari 2026 - Yayasan Tadabbur dengan jayanya telah menganjurkan Program INKorporat Bertadabbur pada 23 Januari 2026 bertempat di Masjid Imam Al-Ghazali. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Sdn Bhd (KOOP SAHABAT) serta ditaja oleh ToyyibPay Sdn Bhd, sebuah syarikat pembayaran digital patuh syariah yang terkenal di Malaysia dan aktif menyokong inisiatif pembangunan ummah serta program berteraskan nilai Islam.

Program INKorporat Bertadabbur merupakan inisiatif Yayasan Tadabbur yang memfokuskan kepada penerapan nilai-nilai Al-Quran dalam konteks pengurusan, kepimpinan dan pembentukan budaya kerja organisasi. Ia bertujuan membantu organisasi memahami peranan insan sebagai khalifah, bukan sahaja dalam ruang ibadah peribadi, bahkan dalam amanah profesional dan tanggungjawab kolektif sesebuah institusi.

Pengisian utama program menampilkan ceramah bertajuk “Manifestasi Khalifah dalam Organisasi: Menyulam Kekitaan, Kesatuan, Keprihatinan dan Syukur” yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tadabbur, Ustaz Syaari Ab Rahman. Dalam penyampaian tersebut, beliau menekankan konsep khalifah sebagai teras kepimpinan Islam, yang bukan sahaja menuntut kecekapan dan amanah, malah menggariskan tanggungjawab moral, keadilan, ihsan serta kesedaran bahawa setiap peranan kepimpinan adalah amanah daripada Allah SWT.

Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran barisan kepimpinan, anggota kakitangan serta ahli koperasi KOOP SAHABAT. Sesi ceramah dan interaksi yang berlangsung memberi ruang kepada para peserta untuk merenung kembali peranan masing-masing sebagai pemimpin dan warga kerja, serta bagaimana nilai tadabbur Al-Quran dapat diterjemahkan dalam membuat keputusan, mengurus organisasi dan membina budaya kerja yang berintegriti. Yayasan Tadabbur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KOOP SAHABAT dan ToyyibPay Sdn Bhd atas kepercayaan serta kerjasama yang diberikan. Diharapkan penganjuran Program INKorporat Bertadabbur ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi strategik dalam membudayakan tadabbur Al-Quran di peringkat korporat dan organisasi, sekali gus melahirkan kepimpinan yang berteraskan nilai khalifah dan rahmatan lil ‘alamin.

Rakan Strategik

Yayasan Tadabbur ditubuhkan dengan tekad menghidupkan roh Al-Quran dalam kehidupan umat Islam melalui pendekatan tadabbur yang menyentuh hati.

Hubungi Kami

Yayasan Tadabbur

Tingkat 3, Kompleks Surau As Sobah, Jalan 3/4 Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Phone

6011-5598-7351

Email

yayasantadabbur@gmail.com