Nilai, 17 Mac 2026 – Seminar Inkorporat Tadabbur bertajuk “Tadabbur Ekonomi: Amanah
Jemaah Memakmurkan Masjid” telah berjaya dilaksanakan pada 17 Mac 2026 bertempat di
Dewan Besar, Masjid Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungai Ujong, Nilai. Program ini
menghimpunkan para hadirin daripada pelbagai latar belakang yang hadir dengan satu
matlamat yang sama, iaitu untuk mendalami peranan jemaah dalam memperkasa institusi
masjid melalui pendekatan ekonomi berteraskan Al-Quran.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Pengerusi Koperasi Kariah Masjid Putra Nilai
Berhad, Imam Andi Mohammad Zulfauzan bin Muhammad, yang menekankan kepentingan
kerjasama dalam kalangan ahli kariah bagi memakmurkan masjid secara menyeluruh.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar institusi masjid tidak hanya berfungsi sebagai
tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat pembangunan komuniti yang mampu menjana
manfaat dari sudut sosial dan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Pengisian utama seminar telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Syaari Abdul Rahman,
Jurulatih Utama Tadabbur Centre, yang mengupas secara mendalam konsep tadabbur
dalam konteks ekonomi dan pengurusan masjid. Dalam penyampaian beliau, masjid bukan
sekadar dilihat sebagai tempat ibadah semata-mata, bahkan sebagai pusat pembangunan
ummah yang mampu berfungsi sebagai pemangkin kesejahteraan ekonomi masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa setiap individu dalam jemaah memikul amanah sebagai
khalifah untuk menyumbang ke arah kemakmuran masjid, sama ada melalui sumbangan
kewangan, tenaga mahupun idea.
Selain itu, seminar ini turut membuka ruang kepada para hadirin untuk menilai semula
peranan mereka sebagai anggota masyarakat dalam menyokong institusi masjid secara
lebih proaktif dan berstrategi. Pendekatan tadabbur Al-Quran yang diketengahkan memberi
perspektif baharu tentang bagaimana ayat-ayat Al-Quran boleh dijadikan panduan dalam
merancang, mengurus serta membangunkan ekonomi masjid secara berkesan dan
berintegriti.
Program ini telah mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran peserta yang komited
dan memberikan respon positif sepanjang sesi berlangsung. Suasana seminar yang
interaktif dan penuh pengisian ilmiah berjaya menyemai kesedaran tentang pentingnya
penglibatan kolektif dalam memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah dan pembangunan
komuniti.
Diharapkan penganjuran seminar seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang
sebagai satu usaha berterusan dalam membudayakan tadabbur Al-Quran serta
memperkasa peranan masjid dalam pembangunan ummah. Melalui kefahaman yang jelas
dan tindakan yang bersepadu, institusi masjid mampu kembali berfungsi sebagai nadi utama
dalam membina masyarakat yang seimbang dari sudut rohani dan ekonomi.






















