KEMAMAN, TERENGGANU, 05 Oktober 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tadabbur, Ustaz Syaari Ab Rahman, telah dijemput untuk menyampaikan pengisian dalam Program INTAN yang berlangsung di Kemaman, Terengganu.
Dalam program tersebut, Ustaz Syaari membawakan tajuk “Mindset Kerja Sebagai Ibadah: Belajar daripada Ibrah Nabi Sulaiman AS”.
Pengisian yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 10.00 pagi, termasuk sesi soal jawab, memberi penekanan kepada pembentukan cara fikir yang melihat pekerjaan bukan sekadar sebagai tanggungjawab profesional, tetapi juga sebagai sebahagian daripada amanah dan ibadah kepada Allah SWT.
Melalui ibrah daripada kisah Nabi Sulaiman AS, para peserta dibimbing untuk melihat bagaimana nilai amanah, kesyukuran, tanggungjawab dan pengurusan nikmat dapat diterapkan dalam kehidupan serta persekitaran pekerjaan.
Sesi ini turut mengajak para peserta memahami bahawa Al-Quran bukan hanya untuk dibaca, tetapi juga untuk direnungi dan dijadikan panduan dalam membentuk sikap, etika kerja dan cara membuat keputusan.
Penglibatan Ustaz Syaari dalam Program INTAN ini selari dengan usaha Yayasan Tadabbur untuk memperluaskan kefahaman dan penghayatan tadabbur Al-Quran dalam pelbagai dimensi kehidupan, termasuk pembangunan profesional, budaya kerja dan pembentukan karakter.
Yayasan Tadabbur berharap pengisian seperti ini dapat membantu masyarakat melihat Al-Quran sebagai sumber panduan yang membentuk cara berfikir, bekerja dan menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.
Tadabbur Al-Quran, Menuju Perubahan.






















